KUALA LUMPUR, 26 Nov – Suara Generasi Muda…….Suara dan aspirasi belia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam mencorak pembangunan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, kajian pada tahun lalu menunjukkan belia berumur 15 hingga 40 tahun merangkumi 1.2 bilion daripada penduduk dunia, petunjuk bahawa golongan itu mewakili suara majoriti yang sentiasa dahagakan pembangunan berteraskan acuan teknologi dan gaya hidup moden.

“Belia ialah masa depan kita, justeru menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merangka masa depan yang lebih terjamin dan dinamik untuk mereka,” katanya dalam ucaptama Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD) 2016, di sini hari ini.

Wacana bertemakan ‘Memperkasa Belia Untuk Masa Depan Yang Cerah dan Lebih Selamat’ itu adalah penganjuran pertama seumpamanya.

Najib berkata, kerajaan sedar belia masa kini diselubungi pelbagai masalah, khususnya pengangguran, perpecahan sosial dan peningkatan kos sara hidup di bandar.

Rangkaian masalah itu, katanya, secara tidak langsung menyumbang kepada gerakan radikal, sekali gus menyebabkan belia terjerumus ke dalam kancah militan.

“Kumpulan Daesh yang aktif merekrut belia sebagai anggota baharu sentiasa mengapi-apikan mereka bahawa perubahan dunia harus ditunjangi menerusi gerakan militan dan agresif.

“Anasir militan ini sanggup memanipulasi imej Islam semata-mata bagi meraih sokongan, khususnya belia yang tanpa berfikir panjang terpengaruh dengan gerakan radikal,” katanya. – WD MY