KUALA LUMPUR, 9 NOV – JUMLAH…. Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan NSTP, Farah Marshita Abdul Patah, menafikan khabar angin berhubung pemberhentian 1,500 pekerja syarikat Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) seperti yang ditularkan di media sosial.

Beliau berkata masih belum ada jumlah tepat pekerja syarikat itu akan diberhentikan dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini pengurusan memang belum ada jumlah yang tepat, sebab masih dalam perbincangan dengan ketua jabatan. Dan memang tadi mereka tidak bagi sebarang angka langsung,” katanya ketika dihubungi Bernama selepas sesi dialog awam NSTP di Balai Berita NSTP petang tadi, yang dihadiri kira-kira 1,000 kakitangan syarikat terbabit.

Jelas Farah, sesi dialog awam hari ini juga adalah untuk memberi penerangan kepada semua kakitangan mengenai pemberhentian kerja yang akan dilakukan pada suku pertama tahun hadapan, seperti yang dimaklumkan menerusi Facebook rasmi NUJ NSTP 1 November lalu.

Beliau berkata ia akan membabitkan semua jabatan di syarikat berkenaan dan bukannya tertumpu kepada satu bahagian saja.

Media Prima memiliki 100 peratus kepentingan ekuiti dalam TV3, NTV7, 8TV dan TV9.

Kumpulan itu juga adalah pemilik The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, penerbit terbesar tiga akhbar nasional Malaysia – New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Dalam pada itu, Farah berkata surat pemberhentian kerja akan dikeluarkan bulan hadapan.

Pada 1 November lalu, syarikat media gergasi tanah air itu mengumumkan akan melaksanakan transformasi perniagaan dan penstrukturan semula dalaman yang dijangka selesai pada suku pertama 2020.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Media Prima memberi jaminan akan memastikan kesemua warga kerja yang terjejas ekoran daripada usaha transformasi itu, menerima pakej pampasan yang adil dan saksama. – WD MY