KOTA KINABALU, 24 JUN – LARANGAN…… Belum ada sebarang larangan dikenakan terhadap pengusaha premis makanan bukan Islam berhubung penggunaan pelekat `Serve No Pork’ di negeri ini atau mewajibkan mereka memohon pensijilan halal bagi menghentikan kekeliruan pelanggan Islam.

Justeru, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas menjelaskan tiada tindakan boleh dikenakan terhadap pemilik premis yang masih menggunakan pelekat berkenaan.

Katanya, tindakan hanya diambil jika premis terbabit meletakkan tanda halal bersama pelekat berkenaan atau memaparkan logo halal tanpa memiliki sijil yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Setakat ini tiada larangan mengenai penggunaan pelekat itu. Asalkan tiada disebut halal di premis terbabit, tiada tindakan boleh diambil. Terpulang kepada pengguna sama ada mahu masuk ke premis itu atau tidak.

“Kita memang sedar di Sabah popular dengan kedai sup ikan dan kebanyakan mereka menggunakan pelekat itu. Mereka juga tidak dipaksa mendapatkan sijil halal kerana kita tahu ia bukan mudah selain memerlukan kos,” katanya.

Georgie berkata, hanya premis yang secara jelas menyebut halal atau menggunakan logo halal walaupun tidak memiliki sijil halal akan diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Kalau meminta pemilik premis yang bukan Islam ini memohon sijil halal juga dirasakan tidak adil kerana restoran yang dimiliki peniaga Islam ketika ini juga banyak yang tiada sijil halal,” katanya.

Katanya, langkah mewajibkan semua premis termasuk yang ketika ini memaparkan pelekat itu hanya boleh diambil jika kerajaan memperkenalkan polisi baharu untuk meminta semua peniaga mendapatkan persijilan halal.

Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) sebelum ini mencadangkan peraturan baharu diperkenalkan bagi melarang penggunaan pelekat itu, sekali gus menghentikan kekeliruan pelanggan Islam bahawa ia bermaksud halal.

Presiden CFOS, Nordin Thani sebelum ini berkata adalah lebih baik semua premis tidak menampal apa-apa pelekat yang boleh menimbulkan kekeliruan untuk memberi keadilan kepada semua pengguna. – WD MY