KUALA LUMPUR, 30 Jun – Keselamatan…… Kejadian Insiden membabitkan seorang budak tersepit dua jarinya pada bilah besi eskalator di sebuah pusat beli belah baru-baru ini, menunjukkan isu membabitkan keselamatan kanak-kanak ketika menggunakan eskalator masih belum menemui jalan penyelesaian sebaiknya.

Ia adalah insiden kemalangan ketiga membabitkan eskalator yang dilaporkan berlaku sepanjang tahun ini.

Untuk tempoh tujuh tahun lalu pula, lebih 35 kes kecederaan membabitkan kemalangan eskalator dilaporkan berlaku di negara ini dengan 97 peratus mangsanya adalah kanak-kanak dan separuh daripada jumlah itu membabitkan budak berusia antara dua hingga empat tahun.

Susulan itu, satu kajian berhubung perkara itu dilakukan oleh sekumpulan penyelidik di Pusat Penyelidikan Klinikal Perak (CRC Perak) diketuai oleh Datuk Dr Amar Singh HSS yang juga Perunding Kanan Pediatrik dan Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.

Kajian yang dijalankan pada November tahun lalu itu memfokuskan keselamatan eskalator dalam kalangan kanak-kanak Malaysia yang berusia bawah lima tahun.

Bagi menjayakan kajian itu, enam pusat beli-belah di daerah Kinta, Perak dipilih secara rambang dengan penyelidik terlatih memerhatikan secara rawak ke atas 258 ibu bapa serta anak ketika mereka menggunakan eskalator dan mengaudit tingkah laku mereka.

Pemerhatian itu dilakukan berdasarkan garis panduan eskalator yang diiktiraf dan diguna pakai oleh lima negara termasuk Kanada dan United Kingdom yang menyenaraikan 15 tingkah laku tidak selamat ketika menggunakan eskalator.

Berdasarkan kajian yang dijalankan CRC Perak itu, daripada 258 ibu bapa serta anak yang diperhatikan, 149 anak (57.8 peratus) dan 162 ibu bapa (63.8 peratus) menunjukkan sekurang-kurangnya satu kelakuan tidak selamat ketika menggunakan eskalator, manakala sebahagian lagi menunjukkan lebih daripada satu kelakuan tidak selamat.

Kajian itu turut mendapati 26 peratus ibu bapa dan 17 peratus kanak-kanak menunjukkan tiga atau lebih kelakuan tidak selamat dan lebih membimbangkan, empat kanak-kanak dilihat menggunakan eskalator tanpa pengawasan.

“Menerusi kajian ini, jelas sekali menunjukkan lebih daripada 50 peratus ibu bapa dan kanak-kanak menggunakan eskalator dengan cara yang tidak selamat maka potensi untuk berlaku kecederaan serius dalam kalangan kanak-kanak tinggi.

“Maka penting untuk kita mengadakan program kesedaran di peringkat nasional untuk mendidik ibu bapa dan kanak-kanak menggunakan eskalator dengan cara yang selamat, ” kata Dr Amar dalam kenyataan, hari ini.

Susulan hasil kajian itu, pihak CRC Perak mencadangkan tujuh panduan untuk ibu bapa dalam memastikan keselamatan anak masing-masing ketika menggunakan eskalator iaitu: – WD MY

1. Gunakan lif berbanding eskalator sekiranya anda mempunyai lebih daripada seorang anak atau anak berusia lima tahun ke bawah

2. Pastikan anda memegang tangan anak-anak yang masih kecil ketika menggunakan eskalator. Orang dewasa pula perlu memegang pemegang susur tangan.

3. Ibu bapa perlu lebih berjaga-jaga dengan keadaan dan keselamatan anak-anak ketika menggunakan eskalator dan elakkan sebarang perkara yang mengganggu tumpuan. Jangan leka dengan telefon bimbit dan perlu fokus dengan kelakuan dan aktiviti anak-anak.

4. Jangan sesekali menggunakan kereta sorong atau penolak bayi ataupun troli ketika menggunakan eskalator .

5. Sila berhati-hati dan elakkan memakai pakaian yang longgar atau berbahaya seperti kasut getah lembut, seluar panjang geleber atau skirt panjang.

6. Jangan benarkan anak anda bermain, berlari atau duduk di eskalator atau berhampiran eskalator

7. Jangan benarkan anak anda menggunakan eskalator dengan cara bertentangan arah