KUALA LUMPUR, 18 Feb – BELUM….. “Tunggu sehingga selesai perbincangan antara keluarga kedua-dua belah pihak, baru saya bersedia memberikan komen. Saya perlu menghormati ibu dan ayah”.

Itu reaksi Sufian Suhaimi ketika diminta mengulas mengenai kenyataan ibu Elfira Loy, Filzah Yusoff petang tadi yang memaklumkan ikatan pertunangan antara penyanyi itu dan anaknya sudah berakhir.

Sufian berkata, dia berpegang kepada prinsip ikatan pertunangannya dengan Elfira belum berakhir selagi cincin yang diberikan masih bersama pelakon itu.

Penyanyi lagu Terasa Ada itu juga mempertahankan, hubungan mereka tidak mempunyai masalah kecuali membabitkan campur tangan pihak ketiga.

“Tunggulah, insya-Allah segala-galanya akan terlerai juga nanti,” katanya.

Difahamkan, bapa Elfira akan memulangkan cincin pertunangan mereka ketika bertemu keluarga Sufian esok.

Terdahulu, ibu Elfira mengakui, hubungan anaknya dengan Sufian sudah terlerai dan percaya, setiap yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

‘Tiada apa yang perlu saya huraikan lagi kerana sudah tertulis jodoh mereka tidak panjang. Insya-Allah dalam masa terdekat, bapa Elfira akan menemui keluarga Sufian untuk menyelesaikan urusan itu mengikut adat.

“Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, tetapi Allah menentukan segala-galanya. Setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anaknya, termasuk dalam hal membabitkan jodoh.

“Saya cuma berharap anak saya dipertemukan dengan lelaki yang jujur, beriman dan tahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin keluarga,” katanya. – WD MY