KUALA LUMPUR, OKTOBER 27: TIADA MASALAH…Pelakon muda, Ben Ladin, menegaskan dirinya tiada masalah dengan Altimet seperti didakwa sesetengah pihak, malah mereka sempat bersalaman ketika bertemu pada majlis sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik 33 (MM33).

Katanya, lagu Hikayat Benladin yang kononnya ditujukan oleh individu tertentu sebagai balasan terhadap dendangan penyanyi rap terbabit sekadar dakwaan tanpa asas.

“Alhamdulillah, memang saya dan Altimet tiada apa-apa masalah pun. Beliau seorang penyanyi senior dan sudah tentu saya cukup menghormatinya.

“Kalau orang kata saya dan Hikayat Benladin dipergunakan, saya rasa telahan itu salah. Judul lagu itu sendiri merujuk kepada perjalanan dan cabaran dilalui oleh saya sebagai anak seni. Jadi, janganlah buruk sangka.

“Saya ada berjumpanya tadi. Saya hulurkan salam dan dia pun menyambutnya secara baik. Cuma, saya tak sempat untuk bertanya khabar lebih lanjut kerana acara sudah bermula,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan, baru-baru ini.

Hikayat Benladin yang juga ciptaan dan lirik nukilan Malique serta Dedeq kini mencatat lebih 16 juta tontonan sejak dikongsi di YouTube bermula 19 Julai lalu.

Dalam isu sindiran dibangkitkan netizen yang menganggap dendangan berkenaan adalah balasan Malique terhadap Altimet, yang lebih dulu dikatakan menyindir bekas anggota kumpulan Too Phat itu menerusi lagu Mambang.

Sementara itu, pemilik nama sebenar Muhammad Benladin Munshi Shaihan, 17, tidak mampu menyembunyikan rasa teruja apabila dendangannya mampu mara ke Separuh Akhir MM33.

“Walaupun ia bukan kali pertama saya melangkah ke separuh akhir pertandingan berprestij ini, keyakinan diberikan oleh Malique supaya saya percaya pada kemampuan diri membuatkan saya lebih bersemangat,” katanya.

Sebelum ini, Ben Ladin yang juga bekas peserta Idola Kecil musim kelima pernah mencuri perhatian ramai apabila tampil berduet dengan Datin Alyah menerusi lagu Permata, lima tahun lalu.-MY WD