KUALA LUMPUR,JUN 11: KELONGGARAN…Puteri UMNO meminta kepimpinan UMNO supaya memberi pertimbangan dan kelonggaran berhubung had tempoh keahlian tiga tahun kepada calon sayap parti itu yang berhasrat untuk bertanding jawatan Exco atau jawatan lain di peringkat bahagian.

Begitupun, untuk jawatan Ketua Puteri dan Naib Ketua Puteri, tempoh keahlian yang diperlukan tidak berubah menurut Perlembagaan UMNO iaitu tiga tahun.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kelonggaran itu diperlukan bagi membolehkan lebih ramai calon muda yang berwibawa dapat peluang untuk bertanding pada pemilihan parti kali ini.

“Ada beberapa calon yang berwibawa tidak dapat bertanding di peringkat bahagian dan jawatan Exco kerana keahlian mereka belum melebihi tiga tahun.

“Ia adalah satu kerugian besar untuk parti memandangkan UMNO kini memerlukan lebih ramai muka baharu dalam kalangan pemimpin muda yang berwibawa.

“Justeru, Puteri UMNO berharap barisan kepimpinan tertinggi UMNO dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan demi kepentingan parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pergerakan Puteri UMNO.

Mesyuarat berkenaan adalah yang terakhir dipengerusikan Mas Ermieyati sebelum melepaskan jawatan beliau yang dipegangnya sejak 2013.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut menyarankan supaya nama semua calon yang sudah menyerahkan borang untuk bertanding pada pemilihan UMNO kali ini dikemas kini dan dipaparkan dalam laman rasmi parti berkenaan.

Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan orang dapat termasuk ahli peringkat akar umbi mendapat maklumat yang diperlukan selain memberi peluang kepada cawangan atau bahagian untuk membantu.

“Kita tidak tahu siapa yang bertanding pada pemilihan kali ini kerana semua urusan dilakukan secara dalam talian dan hanya diketahui menerusi media sahaja.

“Jika maklumat itu dipaparkan, ia memberi banyak manfaat kepada calon itu sendiri,” katanya.-MY WD