PUTRAJAYA, 10 Ogos – Juang….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu semua atlet negara bersaing dan berjuang bersungguh-sungguh demi memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan PARA ASEAN 2017.

Najib berkata, doa 30 juta rakyat Malaysia akan mengiringi semua atlet yang bertanding bagi menentukan kilauan emas menjadi milik Malaysia.

“Ingatlah anda akan bersaing di bumi sendiri, jadi mari berhempas pulas, lakukan yang terbaik bersama-sama rakyat Malaysia yang pasti akan memberi sokongan dengan penuh semangat, diiringi doa dan restu semua, tidak kira keturunan, bangsa, agama dan budaya.

“Mereka ingin melihat kejayaan setiap atlet, kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah terbaik dan lebih daripada itu muncul sebagai juara temasya ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan PARA ASEAN 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Najib berkata, tiada perasaan yang lebih manis dan boleh pudar dari ingatan atlet yang akan bertanding apabila memenangi tempat pertama dan dikalungkan pingat emas, serta pada masa sama lagu Negaraku berkumandang tanda menjuarai acara disertai.

“Sampai anda hembuskan nafas terakhir, ia (kemenangan) tidak akan luput dari ingatan, jadi lakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga negara,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan sudah menyediakan kemudahan venue termasuk di Bukit Jalil yang bertaraf dunia, sekali gus wajar dimanfaat atlet bagi memastikan kejayaan.

“Kita nak lihat persembahan atlet kita juga bertaraf dunia, kalau tidak bertaraf dunia pun, jadilah yang terbaik di ASEAN,” katanya. – WD MY