KUALA LUMPUR, APRIL 20:BERLAKON…Biarpun turut menerima tawaran dalam bidang pengacaraan, Hisyam Hamid, 31, menjelaskan minatnya lebih terarah pada bidang lakonan.

Pelakon kelahiran Singapura itu berkata, buat waktu ini dia sememangnya memilih untuk memberikan keutamaan kepada kerjaya sebagai pelakon berbanding tugas lain.

“Saya ada menerima beberapa tawaran dalam bidang pengacaraan, namun terpaksa menolaknya dengan cara yang baik. Saya sedar, kelebihan saya adalah dalam bidang lakonan dan masih begitu hijau sebagai hos.

“Alhamdulillah, setelah selesai program Gen F, nampaknya pintu rezeki dalam bidang pengacaraan lebih luas. Cuma, belum ada rezeki untuk saya menerimanya lagi,” katanya kepada BH Online.

Hisyam berkata demikian ditemui pada majlis pertunjukan fesyen koleksi raya untuk Starvilion Lebaran 2018, di Shah Alam.

Aktor yang mencipta nama menerusi drama bersiri Ariana Rose ini tampil dengan koleksi baju Melayu dan kurta sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

“Perasaan saya bercampur baur kerana inilah kali pertama saya melancarkan baju di bawah label sendiri. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan dan sambutan orang ramai terhadap pertaruhan sulung ini.

“Saya sendiri sebenarnya banyak mengenali dunia fesyen sejak mengacarakan program Gen F,” katanya.

Menurut Hisyam, koleksi terbabit mencerminkan diri dan keperibadiannya, yang sering kali memilih baju Melayu ringkas dan mudah untuk digayakan.

“Saya lebih selesa tampil dengan baju Teluk Belanga ketika musim perayaan. Ramai juga yang bertanya mengenai baju yang dipakai, jadi lebih mudah apabila saya tampil dengan jenama sendiri,” katanya.-MY WD