KUALA LUMPUR, NOVEMBER 10: BUBUR….“Saya sudah hilang mata pencarian. Bermula esok, kami terpaksa makan bubur,” keluh Rosmadi Jamaludin, 35, pemilik bengkel motosikal yang musnah dalam kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini, semalam.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dia menghantar anaknya ke sekolah ketika dia menerima panggilan telefon daripada rakannya memaklumkan bengkelnya sedang terbakar.

“Saya tinggal di PPR Desa Rejang, saya boleh nampak jentera bomba dan asap dari rumah saya, saya tidak sangka bengkel saya yang terbakar.

“Ketika saya sampai, saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa apabila melihat api sedang marak membakar bengkel saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rosmadi berkata, dia baru sahaja memulakan bengkel terbabit sembilan bulan lalu.

“Saya gunakan semua simpanan saya untuk membuka bengkel ini, saya mula dari bawah dan perniagaan saya sudah mula berkembang.

Saya kerugian RM4,800 wang simpanan dan alat ganti dan mesin bernilai RM5,000. Wang itu saya simpan untuk membeli kereta baharu. Saya sedih dan amat kecewa, saya anggap ia sebagai dugaan,” katanya.

Tiga premis musnah dalam kebakaran kira-kira pada jam 9 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.07 pagi.

“Sepasukan 20 anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Setapak, Wangsa Maju dan Hang Tuan dikerah ke lokasi kejadian.

“Tiga buah premis yang terbabit adalah sebuah kedai runcit, restoran dan bengkel motosikal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Nordin berkata, bomba mengambil masa selama satu jam untuk memadamkan kebakaran.

“Api berjaya dikawal kira-kira pada jam 9.31 pagi sebelum padam sepenuhnya pada jam 10.14 pagi.

“Kesemua premis terbabit musnah, tiada mangsa yang cedera atau maut dalam kebakaran ini, punca kebakaran masih disiasat,” katanya-MY WD