KUALA LUMPUR, 1 Julai – Gaji Minimum Baharu…. Perintah Gaji Minimum 2016 yang akan berkuat kuasa hari ini diharap memberi manfaat kepada golongan pekerja di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Semoga peningkatan pendapatan ini akan membawa manfaat kepada para pekerja dengan struktur penggajian yang lebih saksama selain menggalakkan peningkatan produktiviti dan pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya dalam catatan di laman Facebook hari ini.

Bermula 1 Julai, gaji minimum negara untuk para pekerja semua sektor, kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah, akan dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan bagi Semenanjung, dan daripada RM800 kepada RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut dilaksanakan ialah kenaikan satu tangga gaji dan gaji minimum sebanyak RM1,200 kepada penjawat awam seluruh negara.

Kadar gaji minimum baharu itu diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2015.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem sebelum ini berkata Perintah Gaji Minimum 2016 akan dikuatkuasakan tanpa sebarang penangguhan. – WD MY

LEAVE A REPLY