PUTRAJAYA, 14 Dis – Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di Perdana Putra, malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, hadir menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian itu.

Perjanjian itu dimeterai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan manakala Singapura oleh Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan di Bangunan Perdana Putra.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean.

Pada sidang media bersama selepas itu, Najib berkata, perjanjian berkenaan memuktamadkan mengenai beberapa aspek termasuk teknikal, keselamatan, komersial, pembiayaan dan rangka kerja perundangan.

Selain itu katanya, tiada perancangan untuk memanjangkan laluan HSR ke utara Semenanjung dan kedua-dua negara komited untuk menyiapkan projek berkenaan mengikut kos serta jadual yang ditetapkan.

Mengenai Sistem Transit Pantas (RTS) Johor Bahru-Singapura, Najib berkata, kedua-dua negara bersetuju bahawa pembinaan jambatan tinggi adalah pilihan terbaik bagi sistem berkenaan, dengan perjanjian dua hala mengenainya akan ditandatangani pada hujung tahun depan.

Terdahulu, Najib dan Hsien Loong mengadakan pertemuan empat mata sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ketujuh.

Kedua-dua pemimpin juga menghadiri mesyuarat delegasi bagi membincangkan isu dua hala yang mempunyai kepentingan bersama serta perkembangan kerjasama sedia ada yang diputuskan pada Sesi Pemukiman lalu. – WD MY