KUALA LUMPUR, 25 Nov – ANUGERAH…. Tiga wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyerlah pada majlis Anugerah Media Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) malam tadi.

Wartawan Kurniawati Kamarudin merangkul anugerah kategori Media Cetak dan Portal Berita Dalam Talian (Berita dan Rencana) menerusi laporan bertajuk ‘Pulau Banggi Tidak Akan Terpinggir Lagi’ manakala Sakini Mohd Said di tempat kedua kategori tersebut dengan laporan bertajuk “Anyaman Buluh ‘Salingkawang’ Keunikan Kraf Sabah”.

Tempat ketiga dimenangi oleh wartawan ‘The Star’, Jessie Lim Yu Min dengan laporan bertajuk ‘Eye On Rural Development’.

Bernama turut merangkul anugerah saguhati menerusi kategori Elektronik Penyiaran Radio yang dimenangi wartawan  Farhah Ruslan menerusi laporan bertajuk ‘Felcra Bantu Naik Taraf Sosioekonomi Pulau Banggi’.

Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan hadiah wang tunai, trofi dan sijil perhargaan kepada para pemenang.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri mengumumkan bahawa kementeriannya akan menyediakan kuota khas kepada lima pengamal media untuk melanjutkan pengajian peringkat pasca siswazah menerusi Bajet 2018.

“Pengumuman ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa membantu kementerian dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya. – WD MY