HULU LANGAT, 2 MAC – LAPORAN….Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini membuat empat laporan polis terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berhubung kesalahan pilihan raya.

Pengarah Eksekutifnya, Yap Swee Seng, berkata laporan itu dibuat berkaitan kewujudan ‘pondok panas’, merayu undi dan penyokong parti berkumpul di kawasan pusat pengundian membabitkan dua parti berkenaan.

“PH dan BN mendirikan pondok panas berhampiran pusat pengundian di Bandar Rinching dekat sini. Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang boleh mendirikan pondok panas.

“Pemantau pilihan raya turut menyaksikan kegiatan meraih undi oleh penyokong kedua-dua parti di empat pusat pengundian,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan itu di Balai Polis Semenyih di sini.

Swee Seng berkata empat pusat pengundian itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching, Sekolah Kebangsaan (SK) Kantan Permai dan Sekolah Rendah Agama Batu 3.

Beliau turut mendakwa terdapat kenderaan yang memasang logo parti membawa pengundi ke pusat pengundian.

Katanya, BERSIH 2.0 turut menyerahkan beberapa rakaman video dan gambar berkaitan kesalahan dilakukan dua parti terbabit kepada polis.

“Laporan ini dibuat supaya siasatan dapat dijalankan ke atas setiap kesalahan yang dilakukan parti yang bertanding,” katanya. – WD MY