PUTRAJAYA, 3 Nov – Tidak Berdaftar…… Pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini mengesahkan bahawa Bersih dan kumpulan Baju Merah tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1996.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri.
Menurut beliau, keputusan Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah adalah kedua-dua kumpulan berkenaan harus didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan untuk digazetkan sebagai pertubuhan.
Katanya memandangkan Bersih dan Kumpulan Baju Merah tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan, maka aktiviti anjuran mereka diharamkan.
“Sebagaimana saya putuskan di Dewan Rakyat semalam, penganjur perhimpunan Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah tidak dibenar mengadakan sebarang perhimpunan.
“Ini adalah arahan rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan penguatkuasaan akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Ahmad Zahid berkata kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi KDN 2016 di sini hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut mengeluarkan surat rasmi tidak mengizinkan kedua-dua kumpulan itu menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan.
“Keputusan DBKL adalah muktamad. Oleh yang demikian, keputusan pihak polis adalah selari dengan DBKL dan segala arahan hendaklah dipatuhi sepenuhnya,” tegas beliau. – WD MY