KUALA LUMPUR, FEB 1: SALAH LAKU PH… “Mengapakah seringkali apabila penekanan diberikan kepada kedudukan istimewa agama Islam dan Melayu-Bumiputera terus dianggap rasis?”

Itu persoalan yang diajukan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung dakwaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bahawa Barisan Nasional (BN) melakukan kesalahan pilihan raya terbanyak berbanding Pakatan Harapan malah dituduh menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk menang pilihan raya.

Soalnya lagi, mengapakah pimpinan DAP yang memperjuangkan kesamarataan, secara tidak langsung didakwa mengambil hak Islam dan Melayu-Bumiputera yang telah pun termaktub dalam Perlembagaan tidak pula dikira perkauman dan rasis?

“Kalau benar Bersih ini bersifat berkecuali dan bukan alat perkakas PH, kenapa tidak turut mendedahkan secara menyeluruh kesalahan pilihan raya dan kempen perkauman yang dimainkan oleh DAP-PH?

“Bersih seharusnya menyatakan pendirian dengan jelas adakah pendedahan-pendedahan berikut yang telah dilaporkan tidak terkait dengan perkauman atau kesalahan pilihan raya:

1. “Orang Melayu tak beli kuih dari gerai Orang Asli. Saya tak fikir mereka (orang Melayu) akan undi Orang Asli.” Kenyataan rasis calon DAP Manogaran kepada Malaysiakini.

2. “Orang Melayu akan tanya: kenapa tak ada calon orang Melayu? Kenapa letak Orang Asli? Orang Cina, India juga tidak akan undi Orang Asli,” kenyataan rasis Manogaran memperlekeh Orang Asli.

3. “Jika BN menang di Cameron Highlands, orang bukan Islam tidak akan dapat jadi menteri, bahkan Ahli Parlimen nanti” – kenyataan rasis sewaktu Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sewaktu turun kempen.

4. Kenyataan Twitter Lim Kit Siang yang menganggap Orang Asli bukan warganegara penuh Malaysia.

5. Pengedaran risalah kempen perkauman dalam bahasa Mandarin “Kerajaan Baru, Harapan Baru, Pendidikan Cina semakin hebat” yang memfokuskan kepentingan hanya satu kaum:

– Peruntukan kepada Sekolah Rendah Cina.

– Peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina*

– Peruntukan kepada pusat pengajian tinggi swasta (persendirian Cina)*

– Peruntukan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina.

6. Pengagihan wang tunai untuk merasuah terang-terangan Orang Asli atas nama duit minyak.

7. Kenyataan Senator PH mengugut untuk tidak membayar Batin-Batin Orang Asli jika tidak menyokong PH.

8. Pengunaan aset-aset kerajaan seperti kenderaan pacuan empat roda milik Pejabat Hutan Daerah Raub untuk berkempen.

9. Menceroboh kenderaan peribadi calon BN untuk merampas telefon bimbit yang merakamkan bukti kesalahan pilihan raya yang dilakukan PH.

10. Merasuah orang Asli pada malam terakhir dalam bentuk hamper.

11. Calon DAP memakai baju berlogo parti di dalam kawasan pusat pengundian.

12. Anggota Pentadbiran Kerajaan (Timbalan Menteri DAP) yang berkempen sewaktu hari bekerja dan bertindak kasar terhadap jentera kempen BN.

“Perkara di atas hanyalah sebahagian daripada puluhan kesalahan yang telah ditularkan meluas dan dilaporkan kepada pihak berkuasa. Sekali lagi jika Bersih badan berkecuali dan tidak lagi menjadi alat PH sejak mereka menjadi pembangkang lagi, maka Bersih tidak boleh terus membutakan mata, menulikan telinga,” kata beliau dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.-MY WD