PUTRAJAYA, 25 JUN – BIAR…..Sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu, PH membuat ketetapan bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Tempoh garis masa peralihan jawatan itu menimbulkan persoalan selepas kenyataan Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yakin bahawa PH akan terus berpegang kepada ketetapan asal.

Jelas Saifuddin, garis masa berhubung peralihan jawatan itu terpulang kepada kedua-dua pemimpin berkenaan.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan mereka (Dr Mahathir dan Anwar),” katanya kepada MEDIA di Putrajaya hari ini.

Isu timbul selepas Dr Mahathir menafikan laporan CNBC yang memetiknya sebagai berkata bahawa beliau tidak akan memegang jawatan lebih daripada tiga tahun.

Namun, Dr Mahathir berkata, tempoh tiga tahun yang disebutkannya adalah tempoh bagi membuat pembetulan dalam pentadbiran.

Sementara itu, Saifuddin yang juga merupakan menteri kabinet, meminta media tidak terlalu memainkan isu berkenaan peralihan kuasa itu.

“Namun saya tetap hargai minat media mengikuti isu ini,” katanya. – WD MY