PETALING JAYA: Pelakon, Siti Saleha, tidak tertekan apabila bercerita soal cahaya mata kerana beliau dan suami, Ahmad Lutfi Azhar, masih dalam suasana bulan madu sejak mendirikan rumah tangga pada Julai tahun lalu.

Menurut Saleha, 28, dirinya juga mahu bermanja sepuas-puasnya dengan suami sebelum menerima kehadiran si kecil yang pasti menambahkan lagi seri mahligai cinta mereka.

Apabila saya melihat abang dan adik saya yang sudah mempunyai anak, kehidupan mereka bagai berubah sepenuhnya. Tumpuan dan perhatian kini perlu diberikan kepada bayi masing-masing. Bagaimanapun, kami bukanlah merancang kerana soal anak bergantung kepada rezeki.

Cuma bagi saya, sekarang kami masih lagi dalam suasana bulan madu. Malah, kami dalam perancangan untuk bercuti ke Mauritius. Berilah saya peluang untuk bermanja puas-puas dengan suami dulu,” katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai kehadiran Ramadan pula, Saleha berkata, beliau sangat teruja apabila kali pertama menyambut bulan penuh keberkatan itu sebagai isteri.

Seperti wanita sudah berkahwin yang lain, walaupun sibuk, Saleha tetap akan ke dapur menyediakan hidangan untuk suami.

“Suami saya tidak begitu cerewet dalam soal makanan. Dia suka makan daging goreng kunyit, manakala saya pula gemarkan salmon panggang sebab ia senang untuk dimasak.

Pada Ramadan ini juga, Saleha yang juga kakak kepada Sam Bunkface bakal muncul bersama dua drama baharu di kaca televisyen. Drama Bulan Bintang Dan Sayang akan menemui penonton ntv7, manakala Bila Aidil Ada Fitri pula ditayangkan menerusi saluran Astro Oasis.