KUALA LUMPUR, MAC 6 : Penyanyi, Anuar Zain, telah memberikan sumbangan kepada insan kurang bernasib baik sempena konsert amalnya di Johor Bahru, 6 Mei depan.

Beliau memberitahu pemberita, biarlah beliau sahaja yang tahu berapa yang diberikan dan ini adalah rahsia antara dirinya dengan Tuhan.

“Soal amal, biarlah antara saya dan Allah (yang tahu). Saya tak kongsi (mengenai perkara itu),” ujarnya ringkas ketika ditanya mengenai jumlah sumbangan akan dihulurkan beliau hasil kutipan persembahannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor nanti.

Anuar berkata demikian sewaktu sidang media konsert terbabit di ibu kota. Selain dirinya, konsert anjuran E&F Event Resources itu juga menampilkan penyanyi, Zamani dan artis Singapura, Fauzie Laily.

Menerusi persembahan itu, penganjur juga akan menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Lace Datuk Rokiah bagi membantu insan kurang berkemampuan, anak yatim, golongan asnaf, warga emas dan ibu tunggal di sekitar Johor Bahru.

Penyanyi ini turut meberitahu, “Insya-Allah, tahun ini memang akan ada deretan konsert berbayar yang akan membabitkan saya. Ia satu perkembangan yang menyeronokkan,” katanya yang berasakan 2018 bagai membuka banyak pintu rezeki buat dirinya dan insan seni lain.

Anuar juga memberitahu beliau akan cuba menampilkan corak persembahan yang lebih menarik dan bebeza dari persembahan beliau sebelum ini.

“Ia dua persembahan berbeza, malah artis yang ditampilkan juga tidak sama. Saya pastinya akan tampilkan kelainan pada dua konsert ini,” katanya.

Pada konsert amal itu, Anuar dijangka mendendangkan kira-kira lapan lagu dalam persembahan yang memakan masa 45 minit.

Untuk peminat yang ingin mengikuti konsert Anuar bolehlah mendapati tiket di www.ticketcharge.com.my – MY WD