KUALA LUMPUR,SEPTEMBER 26:PENDAPAT… Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bebas menyuarakan pandangannya terhadap keputusan parti dan Barisan Nasional (BN) yang memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu mengamalkan sikap terbuka dan meraikan perbezaan pendapat jika ada ahli serta pemimpinnya tidak sehaluan dengan keputusan parti.

“Bila masa UMNO tidak berbeza pendapat. Beliau (Hishammuddin) mempunyai pandangannya. Kita tidak menghalang perbezaan pandangan.

“Tapi kita boikot kerana PRK itu dibuat hanya untuk memenuhi cita-cita politik seorang individu yang mana kita fikir wang rakyat tidak harus dihabiskan bagi tujuan itu.

“Ini bukan kali pertama kita boikot, di Permatang Pauh kita pernah (boikot). Kita lihat rakyat yang menjadi mangsa,” katanya.

Semalam, Hishammuddin menyatakan rasa tidak setuju terhadap keputusan BN yang memboikot PRK berkenaan dengan menyifatkannya sebagai satu keputusan di luar kebiasaan parti dan akan mempunyai kesannya tersendiri pada masa hadapan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pembinaan Pusat Dagangan Dunia Putra KL Putra (KL PWTC) yang juga ibu pejabat UMNO baharu ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan.

“Projek itu ditangguhkan. Kita berpendapat dalam situasi ekonomi ketika ini, kita perlu terbuka dengan beberapa pilihan.

“Kita sudah berbincang dengan pemaju yang bercadang mencari rakan kongsi untuk meneruskan projek itu atau menjual saham mereka atau menjalin kerjasama dengan syarikat lain,” katanya.

PWTC KL, adalah projek bangunan baharu pejabat dan hotel bertaraf enam bintang di menara setinggi 70 tingkat dirancang bakal dilengkapi Dewan Putrade, pembangunan semula Dewan Tun Razak 1 dan 2 bertaraf dunia.

Ia termasuk projek menaik taraf bangunan sedia ada iaitu Menara Dato Onn, Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail.

Projek yang akan dilaksanakan syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu akan turut menempatkan masjid yang boleh menampung 5,000 jemaah pada satu-satu masa dan menempatkan podium beli-belah setinggi dua tingkat.

Upacara pecah tanah bangunan baharu itu disempurnakan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pada November 2016.-MY WD