KUALA LUMPUR, 4 Feb – BINA….. Sebanyak 3,500 unit rumah mampu milik untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibina di bawah projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang akan dilancarkan pada Mac ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata inisiatif itu merupakan kerjasama pihaknya dengan Kementerian Pertahanan bagi membolehkan setiap anggota tentera memiliki rumah sendiri di ibu kota.

Bercakap kepada media selepas melancarkan Kenduri 1Wilayah Parlimen Bandar Tun Razak hari ini, beliau berkata rumah berkeluasan antara 1,000 hingga 1,200 kaki persegi itu akan dijual pada harga RM150,000 hingga RM250,000.

Tengku Adnan berkata kementerian turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi memperluas padang permainan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat, Kem Sungai Besi.

“Sebanyak RM150,000 juga akan diluluskan untuk membina sebuah padang futsal di Kem Sungai Besi bagi membolehkan anggota tentera serta anggota keluarga mereka bermain futsal selepas projek SASaR dilancarkan,” katanya.

 

Pada majlis itu, Tengku Adnan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 sempena Tahun Baharu Cina kepada Tabung Kebajikan Rejimen (TKR) Markas Pemerintahan Medan Tentera Darat yang diwakili Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin. – WD MY