KUALA LUMPUR, 13 Feb – Kerajaan terus komited untuk membina 80,000 unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan
Labuan menjelang 2018, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor.

Beliau berkata setakat ini pembinaan lebih 36,000 unit rumah mampu milik di
Wilayah Persekutuan telah dijalankan sejak dua tahun lalu dan sebahagian
daripada unit-unit itu telahpun disiapkan.

Menteri itu yakin menjelang akhir tahun 2016, sebanyak 55,000 unit rumah
mampu milik akan segera dibangunkan sekaligus menunaikan janji kerajaan untuk
menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan memahami keperluan rakyat yang ingin
memiliki rumah yang mampu dibeli di tengah kepesatan ibu kota.

“Janji kami, akan kami tepati, kerana kerajaan yang ada sekarang, kami ingin
melihat rakyat tinggal di persekitaran yang sempurna dan baik, inilah sebabnya
kami membina lebih banyak rumah mampu milik,” katanya ketika berucap pada Majlis
Kenduri 1Wilayah Persekutuan (Kenduri 1WP) di Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Lebih 3,000 warga Wangsa Maju hadir di program berkenaan yang merupakan
inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan dalam usaha mengeratkan hubungan
silaturahim masyarakat setempat.

Kenduri 1WP itu menjadi medium bagi memperkukuhkan persefahaman, perpaduan
dan ukhuwah sesama warga Wilayah Persekutuan khususnya komuniti kawasan Parlimen
Wangsa Maju.

Dalam ucapannya itu Tengku Adnan juga menegaskan bahawa kerajaan bersedia
untuk membangun semula kawasan flat perumahan awam Wangsa Maju yang berkeluasan
kurang 600 kaki persegi setiap unit.

Katanya flat itu yang telah dibangunkan sejak 30 tahun lalu tidak lagi
sesuai untuk warga kota mendiaminya.

Tengku Adnan meminta majlis perwakilan penduduk di Wangsa Maju untuk
menyedia dan mengemukakan kertas cadangan mengenai pembangunan semula kawasan
mereka untuk pertimbangan pihak kerajaan. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY