BINTULU, 15 Sept – Bersedia Untuk Sambutan Hari Malaysia…… Bandar Bintulu kini bersedia untuk menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2016 di tapak lapangan terbang lama esok.

Mempunyai populasi kira-kira 500,000 orang pada masa kini, bandar itu berkembang pesat daripada sekadar bandar nelayan kecil pada awal 1960-an kepada satu daripada bandar terbesar di Sarawak dengan penemuan minyak dan gas pada 1970-an.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing, berkata ini adalah antara faktor Bintulu dipilih sebagai tuan rumah pada sambutan kali ini.

“Bintulu juga terletak secara strategik di pusat negeri. Dengan akses yang mudah, orang ramai boleh datang ke bandar ini dan bersama-sama memeriahkan sambutan itu,” katanya.

Masing yang juga menteri yang bertanggungjawab bagi sambutan itu berkata demikian selepas merasmikan perlumbaan bot laju di Sungai Kemena bersempena dengan sambutan itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, Bintulu juga menjadi lokasi Persidangan Dewan Undangan Negeri yang pertama pada 8 September 1867 ketika pemerintahan Raja Putih di negeri ini.

Dewan Undangan Negeri ketika itu dikenali sebagai Majlis Umum yang dibentuk oleh Charles Brooke, Raja Muda Sarawak atas perintah Raja Sarawak, James Brooke.

“Bagi saya, ini juga adalah tarikh yang amat penting dalam sejarah kita dan kepentingan sejarah yang besar. Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Ini adalah amat penting buat Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” kata Masing.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka tiba di sini esok dan dijadual menghadiri sambutan Hari Malaysia.

Yang di-Pertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud; Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem; dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bersama isteri masing-masing, turut dijangka menghadiri sambutan itu. – WD MY

LEAVE A REPLY