CYBERJAYA, 30 Sept – Penulis blog Shahbudin Husin hari ini dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memberi keterangan berhubung artikel mengenai majlis persandingan anak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Indonesia yang diadakan pada masa sama ketika timbalan perdana menteri itu membuat lawatan ke republik berkenaan.

Shahbudin dalam artikelnya menimbulkan persoalan sama ada lawatan rasmi naib presiden parti UMNO itu diselaraskan tarikhnya supaya berkebetulan dengan majlis persandingan anak lelaki beliau.

SKMM mengambil keterangannya di ibu pejabatnya di Cyberjaya selama 2 jam sejak 10 pagi semalam hingga kira-kira 12 tengahari.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyatakan seseorang melakukan kesalahan sekiranya memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Artikel bertarikh 20 September, Shahbudin mempersoalkan adakah majlis tersebut dirancang atau kebetulan ia jatuh dalam waktu sama lawatan rasminya.

“Persoalan yang timbul ialah mengapakah lawatan rasmi Zahid ke Indonesia ini bersamaan tarikhnya dengan majlis persandingan anak lelakinya?

“Apakah ia sekadar kebetulan, memang dirancang atau sudah begitu ketentuan Tuhan?” tulis Shahbudin dalam artikelnya itu.

Kunjungan empat hari Zahid ke Indonesia, yang bermula 18 September lalu, adalah lawatan ke luar negara pertama beliau selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 28 Julai.

Selain membuat kunjungan kepada Naib Presiden Indonesia Jusof Kalla, beliau juga bertemu dengan Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhammad dan Menteri Dalam Negeri Tjahjo Kumolo.

Sebelum ini, Shahbudin lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan menerbitkan sebuah buku berjudul ‘Membongkar Skandal Deepak & Bank Rakyat’, membabitkan skandal Bank Rakyat juga disekat menerusi satu perintah mahkamah yang menghalang ia daripada dijual kepada orang ramai.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY