KUALA LUMPUR, 20 Julai – Prestasi……. BMW Group Malaysia mencatatkan prestasi jualan terbaik untuk portfolio kenderaan BMW iPerformance bagi separuh pertama tahun ini.

Menyamai kejayaan kenderaan elektrik BMW Group di seluruh dunia, BMW Group Malaysia sudah menyerahkan lebih 2,300 unit BMW 330e, BMW X5 xDrive40e dan BMW 740Le yang baru dilancarkan sehingga Jun 2017.

Sejak pengenalan kenderaan BMW Hybrid dengan Teknologi eDrive yang pertama menerusi BMW X5 xDrive 40e pada hujung Jun 2016, pembuat kenderaan premium itu sudah menyerahkan lebih 3,200 unit kenderaan di negara ini.

Ia sekali gus membolehkan jualan BMW iPerformance mencatatkan perkongsian pasaran lebih 44 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan BMW di Malaysia, menjadikannya peratusan paling tinggi di dunia.

Purata jualan di dunia hanyalah tiga peratus, dengan perkongsian pasaran di negara rantau Nordic (Eropah Utara) adalah 14 peratus.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun, berkata Malaysia kini menjadi peneraju, dengan pertumbuhan dan kadar pembelian kenderaan BMW iPerformance di sini menunjukkan bahawa rakyat negara ini sudah bersedia untuk teknologi termaju dalam industri automotif.

“Kenderaan BMW Hybrid dengan Teknologi eDrive adalah tawaran terbaik untuk pelanggan. Ia bukan saja direka dengan begitu cantik, malah bertanggungjawab dan sangat menjimatkan dari segi penggunaan bahan api serta kurang pelepasan karbon dioksida,” katanya dalam satu kenyataan.

Prestasi jualan BMW 330e dilihat amat berjaya dengan lebih 60 peratus BMW 3 Series yang dijual di Malaysia ketika ini ialah model BMW iPerformance.

Lebih 40 peratus daripada varian BMW 7 Series yang diserahkan kepada pelanggan ialah model BMW 740Le xDrive yang baru saja diperkenalkan.

Mahu terus memacu portfolio produk kenderaan BMW Hybrid dengan Teknologi eDrive, BMW Group Malaysia turut mengutamakan aspek infrastruktur dan perkhidmatan mobiliti dalam strateginya menjadikan pengalaman memandu jentera elektrik lebih selesa, mudah dan menyeronokkan.

Sang Yun berkata, bagi mencipta dimensi dan pengalaman baharu “Sheer Driving Pleasure” serta pengalaman pemilikan kenderaan dalam segmen premium, BMW Malaysia juga perlu memastikan kewujudan infrastruktur sewajarnya bagi menyokong teknologi baharu ini.

“Aspek inilah yang akan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kenderaan “plug-in hybrid” dan akhirnya kenderaan elektrik pada masa depan,” katanya.

Merujuk kepada kerjasama di antara BMW Group Malaysia dan GreenTech Malaysia untuk menawarkan pengguna kenderaan plug-in hybrid baharu BMW di Malaysia akses kepada servis mobiliti ChargeNow menerusi platform ChargEV, Sang Yun berkata, sehingga kini terdapat lebih 200 stesen ChargEV di seluruh negara.

“Angka itu akan terus meningkat kepada sasaran 25,000 stesen ChargEV menjelang tahun 2020. Kami juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa lebih 600 orang pemilik kenderaan BMW Plug-in Hybrid sudah mendaftar dalam program BMW ChargeNow di atas platform ChargEV.

“Ia jelas menunjukkan keyakinan ke atas kenderaan berteknologi termaju serta penerimaan rakyat Malaysia terhadap mobiliti-elektrik akan terus positif,” katanya. – WD MY