KUALA LUMPUR, 10 Dis – TOLAK…..   Barisan Nasional (BN) dijangka akan menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bersandarkan kepada reaksi rakyat yang sudah bosan dengan retorik pembangkang.

Pembangkang disifatkan berpolitik secara tidak bertanggungjawab semata-mata mahu menimbulkan persepsi buruk kepada kerajaan.

Justeru, kata Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas, rakyat sudah sedar bahawa dengan memberi undi kepada BN dapat mengembalikan semula kestabilan negara terutama berkaitan dengan ekonomi dan keamanan.

“BN berjalan dengan baik di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak. Semua program transformasi yang dilaksanakan pentadbiran beliau berjalan dengan teratur dan dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh jangkaan.

“Di bawah pentadbirannya juga banyak kemudahan baharu telah dirancang untuk rakyat. Ini boleh dirasai oleh rakyat terutama berkaitan dengan keamanan dan kemakmuran negara ini,” katanya.

Beliau mengulas ucapan penggulungan najib yang juga Presiden UMNO, pada Perhimpunan Agung UMNO, semalam yang menyatakan kemenangan akan berpihak kepada BN kerana semua momentum teguh berada bersama UMNO dan BN dengan kemenangan dilihat berada dalam genggaman.

Kayveas menjelaskan satu perkara yang perlu BN hadapi adalah menangani persepsi buruk daripada berita palsu yang direka pembangkang dan pemimpin mereka.

“Untuk memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara, BN perlu satu mandat yang besar.

“Jadi MyPPP percaya rakyat sedar dan akan bagi kemenangan besar kepada BN,” katanya. – WD MY