PUTRAJAYA, 7 April – TUMPUAN…. Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Barisan┬áNasional (BN) akan memberi lebih tumpuan untuk memang dengan lebih baik pada kerusi kerusi yang dimenangi dengan majoriti tipis pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menurut Ahmad Zahid, BN juga akan cuba meraih kemenangan dua pertiga kerusi Parlimen pada PRU-14 akan datang.

“Kami rasa peluang BN bagi PRU-14 kali ini lebih cerah. Kami akan cuba dapat dua pertiga kali ini dan Insya-Allah kami akan dapat capai,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, semalam.

Terdahulu, Ahmad Zahid dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan selepas selesai menghadiri mesyuarat Kabinet terakhir di Perdana Putra dan pengumuman pembubaran Parlimen.

Ahmad Zahid berkata, semua jentera BN termasuk UMNO dan komponen parti lain sudah bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi hari pengundian kelak.

Pada PRU-13, sebanyak 29 kerusi Parlimen yang dimenangi calon BN dengan majoriti kecil hingga menuntut perhatian serius daripada pucuk pimpinan parti.

Antara kerusi berkenaan termasuk yang disandang anggota Kabinet iaitu tiga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau); Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai) dan Tan Sri Joseph Kurup (Pensiangan) dengan masing-masing hanya memperoleh majoriti 1,371, 1,196 dan 1,744 undi.

Selain itu, anggota Kabinet lain membabitkan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Kiong (Teluk Intan yang dimenangi pada pilihan raya kecil); Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (Bentong); Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera); Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa); Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (Segamat) serta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Kota Marudu).

Liow yang juga Presiden MCA dan Mah yang juga Presiden GERAKAN antara pemimpin parti komponen BN yang dijangka berdepan saingan sengit jika kekal di kerusi berkenaan berikutan masing-masing hanya menang dengan majoriti 379 dan 238 undi.

Sementara itu, Maximus yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) pula memang dengan majoriti 842 undi dalam saingan empat penjuru bagi membolehkannya menyandang kerusi berkenaan untuk penggal ketiga.

Dalam pada itu juga, kerusi panas lain termasuk disandang tujuh timbalan menteri iaitu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (Balik Pulau); Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong (Labis) dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri (Ledang).

Kerusi lain ialah disandang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim (Muar); Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh Anak Gumbek (Mas Gading).

Kerusi lain yang dimenangi calon BN dengan majoriti kurang 3,000 ialah Pendang, Sik, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Bagan Serai, Cameron Highlands, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Setiawangsa, Tebrau, Pasir Gudang, Saratok dan Baram. – WD MY