KUALA LUMPUR, OGOS 5: PEMBANGKANG…Barisan Nasional (BN) mendakwa, kemenangan PKR mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan hanya majoriti 5,765 undi sebagai bukti kejayaan pembangkang mencetuskan protes rakyat secara berkesan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis juga melahirkan tunas kerjasama ke arah perpaduan ummah yang lebih padu di antara UMNO dan PAS.

“Statistik keputusan PRK cukup signifikan. Undi PKR dapat dikurangkan hampir 12,000 atau separuh daripada yang diperoleh ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila protes rakyat juga ditunjukkan melalui undi yang diberikan kepada pembangkang (BN) sebanyak 9,583 undi.

“Ini bermakna lebih daripada 20,000 undi menolak atau memprotes terhadap PKR. BN juga menyertai PRK ini dengan serba kekurangan berikutan tekanan dikenakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membeku semua akaun dan merampas dana PRU BN.

“Pelbagai tekanan dikenakan pada pimpinan BN dan UMNO, malah kenderaan BN turut disita, selain jentera BN berkempen secara sederhana, malah memutuskan tiada pembabitan BN negeri lain kecuali Selangor,” katanya.

Dalam PRK yang berlangsung hari ini, PKR mengekalkan DUN Sungai Kandis dengan majoriti sebanyak 5,842 undi.

Jumlah majoriti itu adalah rendah berbanding PRU-14 lalu, yang dikaitkan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah apabila hanya 49.4 peratus daripada 51,230 pemilih berdaftar keluar mengundi hari ini.

Pada PRK hari ini, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, memperoleh 15,427 undi; berbanding Datuk Lokman Noor Adam (BN) 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy 97 undi. Murthy juga hilang wang pertaruhan.-MY WD