KUALA LUMPUR, JAN 10: PRK CAMERON…Kerajaan Pahang tidak bercadang memberikan sebarang ‘habuan khas’ kepada pengundi sempena pilihan raya kecil akan datang, kata menteri besar.

Menurut Wan Rosdy Wan Ismail langkah itu diambil kerana kerajaan negeri memang sentiasa memberikan khidmat dan bantuan kepada penduduk Pahang dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri selama ini berkhidmat untuk rakyat, kami tak tunggu pilihan PRK untuk buat sesuatu (bagi memancing undi),” katanya kepada media hari ini.

Wan Rosdy yang juga pengarah PRK Cameron Highlands untuk BN menambah kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada perkhidmatan yang baik kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Memberikan beberapa contoh, termasuk 51 permit kepada pekebun kecil, Wan Rosdy berkata tiada pengumuman khas akan dilakukan kerajaan negeri sempena PRK kali ini.

“Memang sejak dulu kami konsisten memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

“Maksudnya, pada setiap masa termasuk selepas PRK nanti kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan kerana memang itu hasrat kami. Bukan saya di kawasan parlimen Cameron Highlands, malah kawasan lain,” katanya.-MY WD