PUTRAJAYA, MEI 8: FITNAH…Orang ramai boleh meneliti lebih 50 isu fitnah dan berita palsu yang dibangkitkan pembangkang sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini berserta penjelasan lengkap dan fakta sebenar yang diberikan pihak berkuasa berkaitan.

Semua penjelasan dan fakta itu dimuat naik dalam laman web Barisan Nasional (BN), www.barisannasional.org.my sebagai rujukan.

Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun, berkata penyebaran fitnah dan berita palsu itu dilakukan pembangkang dengan dua tujuan utama iaitu meraih simpati pengundi pada saat akhir dan mencetuskan kemarahan pengundi supaya menolak BN.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan taktik baharu pembangkang, sebaliknya sudah dilakukan mereka sejak PRU-12 yang lalu.

Menurutnya, pembangkang kini agresif mempengaruhi pemikiran pengundi menjelang hari membuang undi dengan harapan mampu meraih sokongan.

“Malah, isu yang dibangkitkan pembangkang juga adalah isu kitar semula dan ada antaranya sudah dimainkan pada PRU yang lalu.

“Selepas PRU-13 lalu, sebanyak 42 petisyen pilihan raya difailkan pembangkang di mahkamah, namun tiada satu pun perbicaraan penuh dilakukan. Ia jelas menunjukkan isu berkenaan tidak wujud dan tiada merit untuk dibicarakan,” katanya kepada NSTP, semalam.

Mengenai isu undi awal di Parlimen Bagan Datuk, Perak, Mohd Hafarizam berkata, SPR sudah memberi penjelasan lengkap mengenai dakwaan itu dan proses pengiraan undi awal sebenarnya hanya akan bermula jam 4 petang esok di pusat penjumlahan undi.

Mengenai tindakan pembangkang yang banyak menghentam dan mengkritik SPR, beliau berkata, sebagai sebuah badan bebas, SPR tidak perlu kisah mengenai apa jua kritikan dilemparkan kerana apa yang penting mereka perlu memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar.

Menurutnya, jika SPR membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap segala fitnah dan tohmahan disebarkan, dibimbangi ia akan mengganggu proses pilihan raya.

“Bukan tidak boleh ambil tindakan tetapi dibimbangi ia akan mengganggu fokus SPR sepanjang PRU ini. Bagi saya SPR tidak perlu ambil tindakan undang-undang, sebaliknya bersikap proaktif dan terus melaksanakan tugas sebagaimana tertakluk mengikut Akta SPR.

“Saya dapati SPR sudah menjawab segala fitnah dan tohmahan dengan baik menerusi kenyataan-kenyataan balas yang dikeluarkan sepanjang pilihan raya umum ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata penyebaran kembali gambar dan video fitnah oleh pembangkang dianggap sebagai taktik lapuk dan mencemarkan ketelusan SPR.

Beliau berkata, pembangkang kini boleh dianggap sebagai ahli silap mata yang ketandusan idea sehingga sanggup memainkan semula fitnah-fitnah lama bertujuan mendapatkan sokongan pengundi pada saat-saat akhir.

“Saya berpendapat, menjelang hari membuang undi esok (hari ini), pengundi sudah mengetahui siapa yang mereka ingin pilih. Mereka juga sudah dapat menilai mana satu fakta dan auta,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Antara fitnah dan berita palsu disebarkan pembangkang sepanjang kempen PRU-14:

  • Calon PKR daripada DAP, Nga Kor Ming, dakwa penyandang Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong, daripada BN pernah mohon pemastautin tetap Australia.
  • Calon PKR Parlimen Lembah Pantai sebarkan poster di Facebooknya bahawa beliau dan calon BN Parlimen Lembah Pantai akan mengadakan debat.
  • Dakwaan kononnya seorang wanita warga China mendapat MyKad dan akan mengundi pada PRU-14 ini.
  • Surat terbuka disebarkan Malaysiakini, dikatakan ditulis ahli ekonomi terkemuka Malaysia, Tan Sri Dr Ramon Navaratnam, yang juga Pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).
  • Mesej viral dakwa kertas undi pos disaluti lilin bagi halang undi untuk pembangkang.
  • Viral seorang pengguna muat naik gambar dan video dakwa SPR baru buka peti undi tentera/askar di Parlimen Bagan Datuk.
  • Viral seorang petugas pilihan raya ditahan pihak tertentu kerana disyaki membawa keluar kertas undi.
  • Viral satu jenis pangkah kertas undi sahaja diterima SPR
  • Pembangkang gesa pengundi ambil iktibar peristiwa ‘blackout’ PRU-13 sebagai antara sebab menolak kerajaan.
  • Dakwaan SPR bersubahat dengan BN dengan membenarkan calon BN masuk ke tempat mengundi awal.