KUALA LUMPUR, 30 Jan – IBR….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) komited melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Najib berkata, sebagai contoh UMNO dan BN sudah menghantar senarai nama calon yang akan bertanding pada PRU-14 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPM).

“Kita memang komited untuk menentukan pilihan raya kita yang telus dan bersih.

“Kita sudah komited (melaksanakan IBR), semua kementerian dan agensi kerajaan sudah buat IBR,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.

SPRM hari ini tidak menolak kemungkinan melaksanakan IBR khas sempena PRU-14.

Pihaknya bersedia memberikan kerjasama sekiranya parti politik bertanding memohon untuk melaksanakan IBR.

Hadir sama, Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bendahari, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin. – WD MY