BUKIT MERTAJAM, 30 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) terus komited dalam
memastikan kebebasan beragama di kalangan masyarakat bukan Islam sebagai dasar
kerajaan persekutuan.

Menurut Muhyiddin, perpaduan yang diamalkan sejak sekian lama di
negara ini, sentiasa menjadi contoh kepada negara-negara lain, dan masyarakat
Malaysia harus berbangga serta berusaha mengekalkan nilai murni itu.

“Negara kita sudah merdeka lebih 57 tahun.. dan negara kita telah capai banyak
kemajuan dan pembangunan. Ini kerana kita berjaya wujudkan persefahaman baik
antara kaum dan agama di negara ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun Islam agama rasmi Persekutuan, kedudukan agama lain di di Malaysia
tetap terjamin. Ini adalah perkara yang saya sebut tadi terjamin…(dan) selagi
BN berkuasa kita akan pastikan kebebasan beragama terus dipelihara,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Utama Jentera BN bagi
Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, berkata demikian ketika berucap di
hadapan masyarakat Siam di Wat Rajaphohong, Kampung Teluk Wang, di sini hari
ini.

“Ini semua rakyat Malaysia, ini negara kita dan kita semua hidup dan mati di
sini. Sebab itu BN perlu jaga supaya tidak berlaku pergaduhan atau krisis, demi
memastikan kita dapat menumpukan masa membangunkan negara.

“Kita tahu negara kita selamat,..(tetapi) kita (adakalanya) tidak menghargai
keamanan itu kerana kita tak buat penilaian. Tetapi kalau kita pergi ke negara
yang sedang bergolak, kita dapat lihat rakyat miskin hingga susah mendapat
makanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Siam di Parlimen Permatang Pauh
agar memberi sokongan kepada calon pilihan BN bagi memastikan kebajikan mereka
terjaga, seterusnya bagi memastikan keamanan dan keharmonian kekal di bawah
Kerajaan Persekutuan.

Sewaktu berucap, timbalan perdana menteri, yang juga menteri pendidikan,
turut mengumumkan peruntukan RM30,000 bagi sebuah sekolah masyarakat Siam
berusia 20 tahun di Wat Rajaphohong di sini, yang mempunyai 30 pelajar di
peringkat rendah dan menengah.

PRK Permatang Pauh pada 7 Mei depan menyaksikan pertandingan empat penjuru
antara Suhaimi Sabudin (BN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman
Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY