SUNGAI BESAR, 18 Jun – KEPUTUSAN PRK SUNGAI BESAR & KUALA KANGSAR

Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan dengan majoriti lebih besar berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013.

Calon BN di Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid memperolehi majoriti 6,969 undi berbanding majoriti 1,082 yang dimenangi oleh Allahyarham suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad pada PRU13.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Parlimen Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria ketika mengumumkan keputusan rasmi PRK di Dewan Jubli Perak pada pukul 9.55 malam ini berkata Mastura memperolehi 12,653 undi.

Calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684), calon Amanah, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883) manakala Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary hanya mendapat 54 undi dan hilang wang pertaruhan.

Kemenangan Mastura itu, sekali gus membolehkan beliau meneruskan kesinambungan perjuangan suaminya selain mengulangi sejarah seorang wanita menjadi Anggota Parlimen Kuala Kangsar selepas Tan Sri Rafidah Aziz menyaqndand kerusi itu selama tujuh penggal dari 1982 hingga 2008.

PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor berikutan kematian Anggota Parlimen masing-masing iaitu Wan Mohammad Khair-il Anuar dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikoper di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

PRK Kuala Kangsar mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 71.4 peratus berbanding 84.3 peratus semasa PRU13.

Di Parlimen Sungai Besar pula, calon BN, Budiman Mohd Zohdi menerima 16,800 undi dengan undi majoriti sebanyak 9,191 mengalahkan dua lagi calon Dr Abdul Rani Osman (PAS) dan Azhar Abdul Shukur (Parti Amanah Negara).

Azhar memperolehi jumlah undi 7, 609 manakala Dr Abdul Rani memperolehi undi sebanyak 6,902.

Kemenangan Budiman dengan jumlah undi keseluruhan sebanyak 16,800 itu terus mengukuhkan kedudukan BN di kawasan Parlimen Sungai Besar apabila beliau berjaya mengembalikan semula kepercayaan ramai pengundi dengan jumlah undi lebih banyak berbanding dengan penyandang terdahulu, Allahyarhamah Tan Sri Noriah Kasnon.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013, Noriah menang tipis dengan memperolehi undi sebanyak 18,695 dengan mengalahkan calon PAS, Mohamed Salleh M Husin yang memperolehi undi sebanyak 18,296. – WD MY

LEAVE A REPLY