BN MENANG DI CAMERON BUKTI BN TAK BELI UNDI

BN MENANG DI CAMERON BUKTI BN TAK BELI UNDI

600
0

CAMERON HIGHLANDS, JAN 28: TIDAK BELI UNDI… Sokongan padu masyarakat Orang Asli kepada Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands jelas membuktikan tiada unsur beli undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lalu.

Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh berkata, kemenangan BN semalam juga telah membersihkan namanya daripada tuduhan membeli undi seperti yang didakwa oleh Pakatan Harapan (PH).

“Orang Asli di sini merupakan penyokong tegar BN dan kami tidak perlu membeli undi daripada mereka untuk meraih sokongan,” katanya.

Menurutnya, beliau akan terus membantu memperkasakan BN pada masa akan datang meskipun sudah tidak bergelar Ahli Parlimen.

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Orang Asli kerana terus memberi kepercayaan kepada BN dengan memilih Ramli Mohd. Nor untuk menewaskan calon PH, M. Manogaran.

Pada PRU-14, BN menerusi Sivarraajh menang dengan majoriti 597 undi menewaskan Manogaran serta calon Pas, Wan Mahadir Wan Mahmud, Mohd. Tahir Kassim (Berjasa) dan B. Suresh Kumar (Parti Sosialis Malaysia).

Bagaimanapun, keputusan PRU14 bagi kerusi tersebut dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 November lalu berhubung amalan rasuah mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Sehubungan keputusan mahkamah, PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan semula semalam.

“Saya yakin, Ramli mampu memberi khidmat yang baik dan adil kepada semua kaum di kawasan ini,” ujarnya yang hanya menduduki kerusi Parlimen Cameron Highlands selama 7 bulan.

“Kemenangan ini juga merupakan satu isyarat daripada rakyat bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada PH yang tidak mampu menunaikan janji-janji yang ditabur sebelum PRU14,” tambah Sivarraajh.-MY WD