KUALA LUMPUR, 11 Mac – SELESAI…. Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Barisan Nasional (BN) sudah selesai menetapkan senarai akhir calon yang akan dipertaruhkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Tengku Adnan  yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata senarai nama itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada bila-bila masa.

“Sudah (selesai). Tunggu saja (pengumuman),” katanya selepas melawat Perumahan Awam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong hari ini.

Terdahulu pada sidang medianya, Tengku Adnan berkata, BN enggan menguar-uarkan senarai calon dan persiapan menghadapi PRU-14 kerana tidak mahu dilabel sama seperti pakatan pembangkang.

“Saya tidak mahu jadi seperti pembangkang. Cakap-cakap saja tapi tidak buat. ‘We walk the talk. So wait for a while, OK,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau membidas sikap pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang enggan patuh kepada undang-undang dan peraturan parti sehingga ditegur Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sehubungan itu, Tengku Adnan meminta Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya menjaga partinya dan tidak membuat tuduhan tidak berasas kononnya ROS bersikap tidak adil terhadap parti itu.

“Suruh dia jaga parti dia sendirilah. ROS mesti ada sebab (tegur PPBM), kalau kamu tidak ikut undang-undang (susah). Negara ini ada undang-undang, tolong ikut undang-undang dan peraturan.

“Kamu ada Ahli Parlimen yang bercakap pasal undang-undang (di Parlimen) tetapi apabila keluar kamu tidak peduli undang-undang. Mengapa?” katanya. – WD MY