KOTA KINABALU, MAC 11 – BN…Anggota Barisan Nasional (BN) sentiasa bekerja memantapkan kekuatan parti bagi memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, ini termasuk memberi sokongan penuh dan memastikan kemenangan sesiapa sahaja yang bakal dicalonkan untuk merebut kerusi Parlimen dan negeri pada PRU14.

“Soal calon ditentukan oleh parti (BN). Kami telah memberi mandat dan kuasa kepada pucuk pimpinan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan calon yang akan bertanding nanti.”

“Kami dalam satu pasukan untuk memastikan kekuatan parti kerana pertandingan (PRU-14) adalah di kalangan parti-parti politik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman merasmikan Persidangan Bajau Antarabangsa di sini hari ini.

Salleh, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Usukan, ditanya pemberita jika beliau akan bertanding untuk kerusi Parlimen Kota Belud pada PRU14.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau belum menerima sebarang notis mengenai pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula sejak 5 Mac lepas.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu (usul). Saya masih belum menerima notis.”

“Jika kerajaan yang membawa (usul), 24 jam pun boleh (untuk pembentangan),” katanya ketika ditanya mengenai perkara itu.

Pandikar Amin, yang turut hadir pada Persidangan Bajau Antarabangsa itu, berkata kerajaan boleh memberikannya notis jika mahu membentangkan usul itu pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berjalan sehingga 5 April ini. – MY WD