KUALA LUMPUR, 6 Mei – Aset…… Pihak Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan meletakkan calon yang mempunyai latar belakang tidak bersih dan terbabit rasuah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kata  Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan berkata BN sudah menjadikan amalan memeriksa latar belakang calonnya sejak sekian lama dan tidak akan mengizinkan mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

BN pernah mencadangkan supaya perkara itu dilaksana dan diwajibkan bagi semua parti di negara ini, namun ditolak pembangkang.

“BN sudah buat sejak sekian lama, malah mereka (calon BN) diwajibkan mengisytiharkan aset mereka jika mahu jadi (calon) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian KL Extravaganza @ Bandar Tun Razak dan Malaysian Supermotor Championship di Taman Tasik Permaisuri, di sini, hari ini.

“Kita telah cadangkan supaya perkara ini dilaksanakan (bagi semua parti), tetapi pembangkang yang tak nak.

 

“Saya sendiri semasa mahu jadi wakil rakyat pada tahun 2004, kena isytihar harta yang saya ada, apa yang saya buat, apa isteri saya buat, apa keluarga saya buat…semuanya kami isytihar.

“Kalau calon ada masalah dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ketika ini, kita akan panggil dia, siasat dan jika didapati benar, dia tidak akan dibenarkan jadi calon,” katanya. – WD MY