ALOR SETAR, MEI 6: Barisan Nasional (BN) tidak mahu mengikut rentak pakatan pembangkang khususnya DAP yang cenderung menggunakan taktik fitnah dan pembohongan untuk memesongkan fakta sebenar, bagi menarik sokongan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, menegaskan pihaknya lebih berminat untuk menceritakan apa yang sudah dilaksanakan kepada rakyat serta pencapaian kerajaan ditunjangi BN dalam memajukan negara, negeri dan rakyat.

Beliau berkata, rakyat kini sudah pandai menilai dan memahami agenda pembangkang yang sering tampil dengan taktik pembohongan serta pelbagai tuduhan tidak berasas kepada kerajaan.

“Dalam hal ini kita (BN) juga akan sedaya upaya menangkis hasutan serta pembohongan mereka menerusi penerangan yang dilakukan kepada rakyat.

“Kita lebih berminat menceritakan apa yang sudah kita buat kepada rakyat serta pencapaian kita….kita tidak berminat untuk mengikut taktik pembangkang yang mereka fitnah dan pembohongan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Kompleks Pekan Rabu, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian mengulas kenyataan Penolong Penerbit UbahTV iaitu laman televisyen rasmi dalam talian DAP, Amran Ahmad, yang mendakwa bahan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah sudah disiapkan DAP serta akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian Rabu depan.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata, tindakan DAP itu sudah lama dirancang dalam tempoh tiga hingga enam bulan sebelum ini, bertujuan untuk meracuni fikiran rakyat bagi terus membenci kerajaan BN.

“Saya memang ada terbaca berita ini dan DAP memang sudah lama dah buat perkara ini…lagi dua hari hendak mengundi, mulalah mereka akan sebar fitnah dan reka cerita yang tidak sepatutnya.

“Malah, mereka akan menunggu saat akhir sebelum hari untuk menyebarkan pembohongan mereka yang kita jangka sudah dirancang lebih kurang tiga hingga enam bulan sebelum ini,” katanya.

Mengenai Pekan Rabu, Ahmad Bashah berkata, projek meroboh dan membina semula kompleks bernilai RM55.57 juta itu dimulakan sejak 2013 selepas BN merampas semula pentadbiran negeri daripada PAS dan ia mengambil masa lima tahun sebelum siap sepenuhnya pada 15 Januari lalu.

Kompleks perniagaan empat tingkat itu mempunyai 355 ruang niaga serta 200 lot tempat letak kenderaan serta kemudahan surau untuk pengunjung dan peniaga tempat berkenaan.

Ia memulakan operasinya Februari lalu, di mana peniaga asal kompleks ini yang ditempatkan sementara di Bangunan Ukir Mall, Alor Setar mula berpindah masuk ke bangunan itu.

Antara produk dijual di Kompleks Pekan Rabu Alor Setar adalah produk kraftangan, pakaian, ubat ubatan tradisional, kuih muih serta makanan tradisional.-MY WD