PEKAN, MEI 21:TEWAS… Kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah disebabkan kempen agresif Pakatan Harapan (PH) memburukkan pucuk pimpinan sebelum ini menerusi fitnah dan pemberian fakta yang salah.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau antara sasaran pimpinan PH yang diserang dengan pelbagai fitnah bagi mencipta persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Saya tidak merasakan begitu terkilan dengan kekalahan kita (BN) dalam PRU-14 yang lalu, …rakyat sudah membuat pilihan dan kita akur dengan keputusan itu.

“Cuma apa yang saya sedih, …ia (kekalahan) adalah disebabkan kempen memburuk-burukkan pemimpin BN, terutamanya saya dan keluarga paling teruk diserang dengan bermacam dakwaan (tuduhan).

“Selain itu, mereka (PH) juga menawarkan janji yang sangat menarik, janjikan bulan dan bintang, …janji yang tidak boleh ditepati pun, tapi, itulah (yang rakyat) suka dengar dan akhirnya, rakyat membuat pilihan dengan memilih mereka,” katanya.

Apa yang berlaku sepanjang minggu lalu adalah perkara yang di luar jangkaan semua pihak, termasuklah dakwaan kononnya beliau mencuri duit rakyat kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, tindakan kerajaan ketika ini yang mendakwa akan melaksanakan ‘Rule of Law’ sepenuhnya adalah tidak sejajar dengan tindakan mereka terhadap beliau dan ahli keluarganya.

“Mulanya mereka cakap nak ikut ‘Rule of Law’…tapi, tuan puan pun tahu (lihat) apa yang saya dan isteri serta ahli keluarga lalui, …mereka melakukan pemeriksaan dalam rumah saya, …rumah anak-anak saya, semuanya mereka angkut (sita), hadiah kahwin anak saya pun mereka ambil, …kasut cucu pun mereka ambil, …apa maksudnya ini,” katanya.-MY WD