KUALA LUMPUR, 23 April – CALON…. Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang akan diadakan 11 Mei ini, kata  Pemangku Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata keputusan tersebut dipersetujui sebulat suara oleh ketiga-tiga parti komponen BN iaitu UMNO,  MCA dan MIC pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, PWTC di sini, malam ini.

“BN tidak akan meletakkan calon di Sandakan memandangkan selama ini kerusi Sandakan diwakili parti yang mesra BN iaitu parti tempatan di Sabah.

“Kita (BN) belum bersedia untuk mengambil bahagian di Sandakan dan kita akan lihat bagaimana untuk kita memberikan sokongan kepada parti pembangkang yang mengambil bahagian dalam PRK Sandakan selepas penamaan calon nanti,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong susulan kematian Anggota Parlimennya Datuk Stephen Wong Tien Fatt dari DAP, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah, pada 28 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon PRK Sandakan, 7 Mei sebagai hari pengundian awal dan 11 Mei sebagai tarikh mengundi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, UMNO dan PAS kini di peringkat akhir bagi menyiapkan kerangka kerjasama antara kedua parti itu.

“Kerangka kerjasama itu akan dibawa ke jawatankuasa induk dan kepimpinan tertinggi parti masing-masing dan akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa teknikal, tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, BN turut mengutuk keras serangan bom yang mengorbankan ratusan nyawa di Sri Lanka, semalam.  – WD MY