JOHOR BAHRU, 9 Feb – HARAPAN…. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat mesti meletakkan harapan kepada parti yang mempunyai kekuatan sendiri dan bukannya parti yang bergantung harap kepada orang lain.

Najib berkata, parti yang sejati ialah UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kekuatan sendiri dan boleh menjadi tempat rakyat bergantung.

Selagi ada UMNO dan BN, orang Melayu dan kaum lain akan terbela dan kerajaan membawa kemajuan negara.

Beliau berkata, tidak dinafikan pemimpin itu penting tetapi pemimpin sahaja tidak boleh bawa perubahan tanpa sokongan daripada parti keramat UMNO.

“UMNO sebagai satu parti keramat, institusi, bukan sebarang parti, UMNO adalah institusi politik tanah air, parti yang paling berjaya, parti harapan orang Melayu.

“Pada rakyat Malaysia inilah yang mesti kita jaga, bukan kita dijaga pemimpin sahaja tapi yang lebih penting parti.

“Saya sedar walaupun saya Perdana Menteri tetapi kalau 3.5 juta ahli UMNO tiada di belakang saya, tak mungkin saya jadi seorang pemimpin yang boleh bawa perubahan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Pagoh dan Penyampaian Hak Milik Tanah Peneroka FELDA Maokil, di Padang Awam FELDA Maokil, hari ini.

Pada majlis itu seramai 721 peneroka FELDA Maokil menerima geran hak milkk membabitkan kawasan 80.93 hektar tapak rumah dan 3,165.85 hektar ladang.

Najib berkata, ada pemimpin yang lupa bahawa sebelum ini UMNO sentiasa menyokongnya tetapi kini mahu memusnahkan parti itu.

“Ada orang dah lupa jadi Perdana Menteri selama 22 tahun kerana UMNO di belakang dia, hari ni nak musnahkan UMNO.

“(Kini) dia berkawan dengan DAP, bukan sahaja berkawan, dah tidur dengan DAP. DAP itu siapa? Saya nak petik ucapan Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), dalam ucapan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yasin), kita ada rakamannya terang-terangan dia sebut DAP itu parti anti-Melayu dan anti-Islam.

“Bukan saya cakap, dua orang ini yang cakap. Hari ini mereka dah tidur bersama parti anti-Melayu, anti-Islam dan ini bererti bahawa sudah khianati perjuangan yang kita asaskan,” katanya.

Selain itu Najib berkata, Pagoh tidak akan dipinggirkan dan akan terus maju selagi UMNO dan BN menjadi kerajaan. – WD MY