ROMPIN, 22 April – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata meskipun PAS
meletakkan calon lebih muda bagi meraih sokongan pengundi muda, namun faktor
usia bukan penentu kepada kemenangan pada PRK kali ini.

Menurut Hishammuddin, Datuk Hasan Arifin, yang diketengahkan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin,
diterima oleh peringkat akar umbi dan penduduk di parlimen berkenaan termasuk
golongan muda.

“Saya percaya pengundi muda sudah matang hari ini… ia tidak berkisar
kepada umur, tua atau muda.

“Malah Datuk Hasan boleh menggunakan peluang yang ada untuk menjadi wakil
kepada rakyat di sini kerana beliau sangat berpengalaman dan dikenali oleh semua
pengundi tua atau muda,” katanya.

Beliau ditemui media selepas selesai proses penamaan calon PRK itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad
di sini hari ini.

Hishammuddin, yang merupakan penyelaras BN bagi PRK Rompin, berkata BN,
khususnya UMNO, tidak gentar menghadapi saingan daripada PAS, sebaliknya
mempunyai strategi tersendiri untuk menarik sokongan pengundi agar kemenangan
menjadi milik mutlak parti.

“Tan Sri Dr Jamaluddin (Jarjis) (bekas anggota Parlimen Rompin), telah
meletakkan asas pembangunan yang kukuh terhadap jentera dalaman BN, dan UMNO
Rompin sendiri sudah cukup kuat. Kita yakin ini akan menjadi faktor pembantu
untuk kita meraih kemenangan dalam pilihan raya ini.

“Namun yang penting jentera perlu dikuatkan dan bekerja keras dalam masa
yang ada ini. Apa yang perlu dijelaskan kita jelaskan itu kerana ia akan
menentukan undi di sini,” katanya.- Rizalman Has, Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY