KUALA LUMPUR, 9 Okt – Bank Negara Malaysia (BNM) membatalkan tiga
kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di bawah Akta
Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) untuk pelaburan di luar negeri sebanyak
US$1.83 bilion.

Satu kenyataan hari ini menyebut bank pusat itu turut meminta 1MDB untuk
membawa balik jumlah tersebut ke Malaysia dan mengemukakan kepada BNM
perancangannya berkaitan perkara itu.

Di bawah siasatannya, BNM berkata ia merumuskan bahawa kebenaran yang
diberikan di bawah ECA bagi pelaburan 1MDB di luar negeri adalah berdasarkan
pendedahan maklumat relevan yang dikehendaki BNM semasa membuat penilaian
terhadap permohonan 1MDB itu.

Bagaimanapun, didapati bahawa maklumat yang diberikan adalah sama ada tidak
tepat atau tidak lengkap.

“Sebagai pihak berkuasa siasatan, Bank Negara bertanggungjawab untuk
menjalankan siasatan pada tahap profesional yang paling tinggi dan terperinci.
BNM menghendaki pendedahan maklumat yang tepat dan lengkap setiap masa apabila
mempertimbangkan sebarang permohonan di bawah ECA,” katanya.

Sebagai hasil daripada siasatan, BNM berkata, ia mencadangkan Peguam Negara
melaksanakan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB atas pelanggaran ECA.

“Perlu diketahui bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, keputusan untuk
memulakan sesuatu pendakwaan jenayah terletak sepenuhnya pada Peguam Negara,”
katanya.

BNM berkata ia akan terus memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang
sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY