KUALA LUMPUR, 13 OGOS – TEMUI….. Objek menyerupai bom mortar ditemui di kawasan halaman sebuah rumah di Kampung Segambut Bahagia, Segambut semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata polis yang menerima laporan awam berhubung penemuan objek itu pada jam 10 pagi kemudian menghantar sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) ke lokasi.

“Pasukan UPB yang tiba di lokasi pada jam 11.40 pagi kemudian menganalisa dan mengalihkan objek itu ke sebuah lokasi berhampiran yang lapang dan selamat.

“Ini bertujuan untuk memusnahkan objek terbabit kerana kawasan penemuan tidak selamat untuk prosedur pemusnahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Shanmugamoorthy berkata, jarak tempat memusnahkan objek dengan lokasi ia ditemui kira-kira 100 meter bagi memastikan penghuni serta harta benda di situ selamat.

Katanya, objek menyerupai mortar itu akhirnya berjaya dimusnahkan oleh anggota UPB. – WD MY