PUTRAJAYA, 21 Jun – Diperkemas…….. Semua Sistem dan pelan keselamatan semua venue dan hotel penginapan atlet Sukan SEA 2017 akan diperiksa dan diperkemaskan lagi bagi memastikan ia berada di tahap terbaik.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata fokus jabatan itu ialah bagi memastikan venue yang menjadi tumpuan orang ramai itu nanti selamat apabila berlaku sebarang kecemasan.

“Semua venue yang terlibat dalam Sukan SEA 2017 akan diperiksa atau ada yang dinaik taraf. Sistem keselamatan hotel-hotel yang didiami atlet juga akan diperiksa atau ditambah baik,” katanya.

Pemeriksaan dan usaha menaik taraf sistem dan pelan keselamatan itu akan dilaksanakan sebelum berlangsungnya Sukan SEA yang dijadual bermula 19 Ogos hingga 30 Ogos ini.

Beliau berkata jabatan itu juga akan meneliti semula pelan keselamatan semua venue sukan terlibat selain bekerjasama dengan pihak penganjur sukan itu bagi memastikan semua aspek keselamatan dipatuhi.

“Selain itu, bomba juga sentiasa bersiap siaga 24 jam, balai-balai bomba (yang berhampiran venue) akan dalam keadaan siapsiaga bagi memastikan keselamatan kejohanan Sukan Sea 2017 berjalan lancar ,” katanya. – WD MY