KUALA LUMPUR, 26 Julai – Khas…… Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menghadapi kemungkinan kebakaran, bencana alam dan ancaman keganasan sepanjang temasya Sukan SEA ke-29 di sini, 19 Ogos hingga 31 Ogos nanti.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Soiman Jahid, berkata seramai 680 anggota tambahan diserap ke pasukan petugas khas bagi membantu 5,000 anggota bomba sedia ada serta 91 jentera tambahan yang akan ditempatkan di hotel dan lokasi temasya dwitahunan berkenaan.

Katanya, bomba sudah memeriksa tahap keselamatan dan peralatan kebakaran di 66 buah hotel yang terbabit sejak awal Jun lalu.

“Kesemua hotel taraf tiga bintang ke atas berkenaan sudah memiliki sijil perakuan bomba dan pihak hotel juga melantik perunding sebagai langkah keselamatan.

“Fokus bomba sepanjang temasya adalah untuk memastikan hotel penginapan peserta, jurulatih, pegawai dan media berada pada tahap terbaik dan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi ancaman,” katanya di Seminar Kesiapsiagaan ‘Emergency Response Team’ bagi hotel-hotel menghadapi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 di sini, hari ini.

Sementara itu, Badrulhisham berkata pihaknya sudah bersiap sedia menerima kedatangan kontinjen atlet yang terbabit dalam temasya sukan ini dari aspek keselamatan dan pelepasan diri.

Turut hadir, Penolong Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Zurkarnain Mohd Kassim, Pengarah Bomba Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Husaini dan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Kuala Lumpur, Badrulhisham Othman. – WD MY