JOHOR BAHRU, 23 Jun – Tahan Bookie…..Pihak polis menahan 27 lelaki selepas dipercayai terbabit sebagai bookie sindiket pertaruhan kejohanan bola sepak Euro 2016, dalam siri operasi bermula 10 Jun lalu sehingga awal pagi ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata semua lelaki berusia 20 hingga 48 tahun itu ditahan dalam 25 serbuan di seluruh negeri ini dalam operasi khas Ops Soga EURO 2016 bagi membanteras perjudian bola sepak.

Sepanjang operasi itu, katanya, polis merampas wang tunai RM53,331 dan mata wang Singapura $5,789, selain lima komputer, komputer riba (empat), tablet (tiga), telefon bimbit (24) serta 105 keping kertas catatan rekod pertaruhan.

“Jumlah pertaruhan dianggarkan RM3.5 juta dengan maksimum pertaruhan dipercayai sehingga RM30,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495) yang membawa hukuman denda sehingga RM200,000 dan penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan. – WD MY

LEAVE A REPLY