LONDON, 25 JULAI – KABINET…..  Perdana Menteri Boris Johnson melantik barisan penyokong tegar Brexit memegang jawatan kanan dalam kabinet semalam, sekali gus menukar sebahagian besar anggota kabinet selepas berikrar untuk membawa Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) atau memeterai perjanjian baharu menjelang 31 Oktober.

Bekas Datuk Bandar London itu berjanji akan merungkaikan kemelut politik yang menyebabkan Britain dilanda krisis dan memaksa Theresa May menangguhkan Brexit sebanyak dua kali.

Johnson bagaimanapun berdepan bantahan daripada anggota parti Konservatif sendiri dan seluruh parlimen susulan ancaman beliau untuk meninggalkan EU tanpa sebarang perjanjian, serentak dengan amaran diberikan pemimpin blok itu untuk tidak mengadakan rundingan semula.

Beberapa jam selepas memasuki pejabat, Johnson memberi isyarat pendekatan baru dengan menggantikan barisan menteri kanan.

“Kami akan menunaikan janji yang berulang kali dibuat parlimen kepada rakyat dan meninggalkan EU pada 31 Oktober. Tiada kalau atau tetapi,” katanya di luar Jalan Downing.

Johnson, 55, membuat ucapan itu sambil diperhatikan teman wanitanya, Carrie Symonds yang berusia 31 tahun dan menegaskan, orang ramai yang meragui keputusan berkenaan sekali lagi akan melakukan kesilapan.

Beliau menambah, Britain akan bersiap sedia menghadapi kemungkinan kecil Brussels menolak untuk melanjutkan rundingan, justeru memaksa Britain meninggalkan EU tanpa sebarang perjanjian.

Sejurus selepas itu, beliau menamakan Dominic Raab sebagai Menteri Luar. – WD MY