SEMPORNA, 8 Okt – Cedera Bot Terbakar……. Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera ringan selepas sebuah bot dilaporkan terbakar di KD Sri Semporna, dekat sini.

Kejadian jam 2 petang semalam itu menyebabkan lima anggota terbabit dikejarkan ke Hospital Semporna untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Hizam Borhan, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.34 petang sebelum menghantar tujuh anggota ke lokasi.

“Laporan awal membabitkan kebakaran bot TLDM dan sebaik tiba, api sudah dipadamkan sepenuhnya oleh anggota TLDM.

“Lima anggota TLDM yang cedera ringan dihantar ke hospital menggunakan ambulans TLDM,” katanya ketika dihubungi.

Fazizul berkata, pihaknya hanya menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada unsur bahaya dan keadaan terkawal. – WD MY

LEAVE A REPLY