KUBANG PASU, 11 Okt – REMAN LAGI….. Ahli perniagaan direman dua hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Turut direman tiga pengarah sebuah syarikat berusia antara 30 hingga 45 tahun, termasuk seorang wanita.

Perintah tahanan reman terbabit dikeluarkan Majistret Mahkamah Jitra, Abdul Hadi Hakimi Harun mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mereka yang berpakaian lokap tiba di mahkamah jam 9 pagi dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

Ahli perniagaan itu diwakili peguam, Ummi Kalthum Zakaria manakala tiga yang lain diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriah Mohd Nordin.

Ini adalah penahanan kelima ahli perniagaan itu sebelum ditahan reman di Ampang dan Shah Alam, Selangor; Muar, Johor dan Sungai Petani, Kedah.

Siasatan dijalankan polis susulan penipuan jualan rumah yang didakwa membabitkan mangsa di Negeri Sembilan, Johor dan terbaru di Selangor.

Ahli Perniagaan itu di Balai Polis Bukit Indah, Ampang Isnin lalu kerana disyaki terbabit dalam penipuan jualan rumah yang membabitkan kerugian keseluruhan sehingga RM6.2 juta.

Sehingga kini, 203 laporan berhubung penipuan skim perumahan terbabit diterima polis daripada mangsa di seluruh negara. – WD MY